Ampun Tuanku...Sembah Patik Harap Di Ampun!
Thursday, March 27th, 2008Ampun beribu-ribu ampun, sembah patik harap di ampun.
Patik selaku rakyat Terengganu biasa, yang tidak mempunyai apa - apa kepentingan ini melafazkan Sumpah Taat Setia yang tidak berbelah bagi kepada Tuanku Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah sebagai Pemerintah Tertinggi Negara, Ketua Agama Islam dan Lambang Ketuanan Negeri Melayu.
Patik tidak suka akan politik, malah tidak langsung berminat akan politik. Namun patik cukup rasa kesal dengan isu perlantikan MB Terengganu sekarang. Mereka-mereka yang berkepentingan dan tidak bertanggungjawab telah menimbulkan bantahan, membuatkan patik rasa tidak senang hati kerana mempertikaikan keputusan Pihak Istana Terengganu, yang mana pandangan patik, mewakili Tuanku yang kini menjadi pemerintah untuk seluruh Malaysia
Apa yang mendukacitakan patik kerana mereka sanggup membuat demontrasi jalanan, sambil menggantung kain rentang seperti "Kami nak Idris, N####G" yang mana ayat tersebut pada perkiraan pacal yang hina ini ditujukan kepada Pihak Istana Terengganu yang mengurniakan watikah perlantikan MB Terengganu yang terkini baru-baru ini. Kain rentang itu jelas pada pandangan patik, sepertimana yang di siar dalam televisyen utama negara.
Sewajibnya, pihak-pihak yang berkepentingan ini seharusnya meminta ampun khususnya kepada Tuanku Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin dan pihak istana amnya kerana telah mempertikaikan keputusan Pihak Istana Terengganu. Mereka-mereka ini sepatutnya berbincang secara baik-baik dengan Tuanku, malah patut mendidik penyokong-penyokong mereka dengan lebih waras, bukan emosi.
Walau setinggi manapun undang-undang negara, selepas undang-undang Islam, kita mesti mentaati perintah raja / sultan. Jangan biarkan diri dipanggil penderhaka!
Oleh itu, sekali lagi, patik berdiri teguh dibelakang Tuanku Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah, Sultan Terengganu. Apa jua keputusan yang dikeluarkan Tuanku, terhadap corak pemerintahan negeri Terengganu, terutamanya isu perlantikan Menteri Besar Terengganu ini, patik terima dengan sokongan yang tak berbelah bahagi.
Molek pada perkiraan Tuanku, moleklah jua pada pandangan patik . Patik hanya mahukan keamanan, kehidupan seharian yang baik-baik dan kebebasan mengamalkan agama Islam. Patik tak rela dipanggil derhaka kepada Sultan. Tuanku lebih berhak menilai siapa yang berhak.
Daulat Tuanku!
Daulat Tuanku!
Daulat Tuanku!
Semoga Allah Memelihara Keamanan Negeri Terengganu Darul Iman
Tags: , ampun tuanku, Tuanku Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibn














